Teknik Membaca


TEKNIK MEMBACA
Kemahiran membaca meliputi keupayaan membaca dengan pantas, memahami fakta, kebolehan mengingati fakta serta membuat interpretasi secara bijak dan analitis. Biasanya, pelajar sentiasa akan lupa dan tidak memahami apa yang disampaikan melalui bahan bacaan walaupun telah membaca dengan berulang kali. Pelajar perlu mengetahui dan melatih diri untuk membaca dengan betul berdasarkan kaedah-kaedah pembacaan yang sesuai kerana kaedah pembacaan yang tidak sesuai akan menyebabkan pelajar itu berasa bosan, kurang berminat dan tidak dapat memfokuskan diri semasa belajar.

Kemahiran membaca boleh terbahagi kepada bacaan secara cepat dan bacaan secara perlahan. Pembacaan cepat merujuk kepada bacaan secara skimming dan bacaan secara scanning. Pertama sekali, skimming (luncuran). Skimming ialah kemahiran membaca untuk mendapatkan maklumat ringkas dan pantas mengenai sesuatu maklumat. Dalam proses ini, kita dapat membuat pandangan umum mengenai dokumen dengan segera. Bacaan skimming boleh dilakukan dengan membaca menggunakan pergerakan mata yang cepat dan memfokus sepenuhnya pada bahan yang dibaca. Biasanya, kaedah ini digunakan oleh pelajar untuk mengulang kaji sebagai persediaan menghadapi peperiksaan. Contohnya, pelajar boleh membaca tajuk, sub-tajuk atau melihat graf, gambar rajah dan carta.

Selain itu, scanning (imbasan). Imbasan ialah kemahiran membaca untuk mendapatkan maklumat yang lebih mendalam daripada skimming. Tujuan bacaan scanning ialah untuk mendapatkan maklumat tertentu sebagai jawapan kepada sesuatu persoalan. Biasanya, cara ini digunakan untuk mendapatkan isi-isi penting yang berkaitan dengan bahan bacaan yang telah kita baca. Teknik ini melibatkan tindakan menggerakkan anak mata dengan cepat untuk mencari perkataan khusus. Pelajar boleh membuat keputusan dalam menentukan tahap kepentingan sesuatu istilah, bahagian, konsep dalam buku teks ketika membuat ulang kaji.

Pembacaan secara perlahan merujuk kepada bacaan KWLH dan SQ3R. Bacaan intensif (KWLH) ialah kemahiran membaca untuk mendapatkan maklumat terperinci. Teknik ini dapat mengaktifkan pengetahuan lalu pelajar dan membantu menjana pemikiran yang aktif ketika membaca. K (know) adalah bagi apa yang diketahui, W (want) adalah bagi apa yang hendak diketahui, L (learned) adalah bagi apa yang hendak dipelajari semasa membaca bahan bacaan dan terakhirnya H (how) adalah bagi tambahan maklumat berkenaan tajuk yang dibaca.

SQ3R (survey, question, read, recite, review) adalah teknik yang amat berkesan untuk pembelajaran bahasa. Pertama sekali, survey (tinjau), iaitu langkah membaca untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang apa yang terkandung di dalam bahan yang dibaca. Pelajar membaca secara pantas untuk mendapatkan gambaran awal tentang isi bacaan mengikut pemahamannya sendiri. Mereka hanya menumpukan tajuk besar, sub-tajuk, gambar-gambar dan grafik.

Teknik kedua ialah question (soal atau tanya). Teknik ini ialah langkah yang memerlukan pelajar menyenaraikan satu siri soalan mengenai teks tersebut setelah mendapati teks tersebut berkaitan dengan keperluan tugasannya. Jika teks yang sedang dipelajari berisi hal-hal yang sebelumnya sudah diketahui, mungkin hanya perlu membuat beberapa pertanyaan. Di samping itu, read (baca) ialah peringkat pelajar sebenarnya membaca bahan atau teks tersebut secara aktif serta mencuba mendapat segala jawapan kepada soalan-soalan yang telah disenaraikannya sebelum ini. Ketika membaca, pelajar mungkin juga akan menyenaraikan soalan-soalan tambahan, berdasarkan perkembangan kefahaman dan keinginannya sepanjang melakukan pembacaan.

Seterusnya, recite (imbas kembali). Setelah selesai membaca, pelajar cuba mengingat kembali apa yang telah dibaca dan meneliti segala yang telah diperoleh. Pelajar juga cuba menjawab soalan-soalan yang disenaraikan sebelumnya tanpa merujuk kepada bahan yang telah dibaca.  Peringkat terakhir ialah review (baca semula).Review ialah peninjauan ulang atas seluruh pertanyaan dan jawapan sehingga diperoleh sebuah kesimpulan yang singkat, tetapi dapat menggambarkan seluruh jawapan atas pertanyaan yang telah diajukan.  Dalam peringkat ini, pelajar perlu membaca bahagian-bahagian teks secara berpilih untuk mengesahkan jawapan-jawapan kepada soalan yang telah dibuat dan memastikan tiada fakta yang tertinggal.

Membaca juga merupakan proses kemahiran yang aktif bagi mengintepretasikan makna dan mendapatkan pengetahuan daripada bahasa tulisan dan visual. Teknik membaca sangat penting untuk pelajar-pelajar kerana ia dapat membantu mereka meningkatkan pemahaman dengan lebih berkesan. Sekiranya teknik membaca yang telah dipilih adalah sesuai untuk diri sendiri belajar, maka kita dapat belajar dengan lebih berkesan dan menambah minat terhadap belajar.  

Comments

Popular posts from this blog

Pengurusan Masa Dalam Pembelajaran Kendiri

BAB 5 : Kemahiran Membuat Nota